Langkah demi langkah aku ambil menghampiri seorang lelaki tua
yang sedang memberi surat khabar kepada seorang budak lelaki yang sepertinya
sebaya denganku. Aku menghampiri lelaki tua itu dan cuba meraih simpatinya
untuk memberi surat khabar juga kepadaku. Tetapi,aku diherdik. Katanya tiada
duit,tiada selimut. Aku memiliki RM50. Belum sempat aku meneruskan bicaraku,
budak lelaki yang baru menerima surat khabar tadi mempelawa untuk berkongsi
denganku. Dia sangat baik. Ya,sangat baik. Aku beruntung pada malam itu. Dia
berumur 13 tahun. Sama umur denganku. Dialah kawan pertamaku pada malam itu.
Malam itu juga menjadi ketika aku mengenali apa itu makna sahabat sejati.
Oh,mahu tahu namanya? Nama dia Arif. Dia memang arif. (senyum)
Arif memperkenalkan aku dengan bandar itu. Dia mengajak aku untuk pergi ke
tempat yang lebih menarik. Lalu,kami menempah tiket dan naik bas. Urusan
pembelian tiket diuruskan Arif,aku hanya memberikannya duit. Dia juga jujur. Arif
memulangkan semula baki wangnya. Perjalanan kami bermula. Aku memberitahunya
bahawa aku mahu mencari Allah dan aku mahu belajar banyak lagi tentang Islam.
Dan,dia sangat suka dengan pencarianku dan ingin bersama-samaku. Aku cerita
kepadanya apa yang aku tahu. Walaupun sedikit tetapi rupa dia menunjukkan minat
yang sangat dalam.
Aku tertanya-tanya siapa Arif sebenarnya,kisah
hidupnya,bagaimana dia boleh sampai ke sini. Lalu,aku pun bertanya kepadanya di
dalam bas. Tahu apakah jawapannya?
Dia kata “siapa kita pada masa dahulu tidak penting,siapa yang
kau lihat di depan mata ini adalah aku. Aku,Arif. Kawan kau. Dan sahabat yang
akan sentiasa bersama kau untuk mencari kasih sayang Ilahi. Kala kau senang aku
ada,ketawa bersama kau,kala kau susah aku akan tolong,walau sesukar mana.
Terima kasih sebab sudi jadi sahabat aku,Hadi.” Tika aku mendengar setiap
baitnya,hatiku tersentuh. Butir-butir jernih bertakung di tubir mataku. Terima
kasihku hanya pada Dia kerana aku percaya dia ialah hadiah buatku. Ya Allah,aku
sangat ingin mengenalimu lebih lagi. Untuk fahami kenapa itu dan ini berlaku.
Bantulah aku,bantulah kami.
Beberapa jam kemudian,kami turun dari bas. Kami berjalan di
tepi restoran. Perut ini sangat kelaparan. Arif menyuruh aku tunggu di tepi
jalan bawah pokok. Arif kata mungkin dia boleh bekerja di sana. Saat aku setia
menunggu di situ, tiba-tiba sebuah van menghampiriku. Seorang lelaki berkulit
gelap keluar dari pintu van. Aku dapat merasakan sesuatu yang tidak enak akan
berlaku. Aku bangun dan cuba lari. Tetapi,daya aku yang berkaki satu dengan
daya lelaki berbadan tegap itu tidak aku terlawan. Aku menjerit nama Arif. Saat
itu aku lihat Arif sudah berada di tepi van. Cuba melawan dengan tubuhnya yang
kecil itu. Kejadian itu sangat pantas. Kami berdua dibawa pergi. Kawasan itu
tidak ramai penghuni. Tiada yang sedar akan kejadian itu. Mata kami ditutup
sepanjang perjalanan. Hati ini sangat cemas. Bingung dengan nasib sendiri. Apa
yang berlaku? Ke mana mereka bawa kami pergi? Kenapa mereka menculik kami?
Sampai sahaja di sebuah rumah yang terpencil,aku dapat tahu
tempat ini ialah sindiket peminta sedekah. Dia menculik kanak-kanak dan memaksa
mereka untuk di tepi-tepi jalan meminta simpati orang ramai. Kejam. Di situ,aku
berkenalan dengan lebih ramai kenalan. Tapi,Arif tetap menjadi sahabat
istimewaku. Dia sentiasa ada ketika aku ada masalah dengan orang di sana.
Suatu minggu itu,aku tidak dapat hasil yang banyak. Aku letih.
Tetapi,aku tetap berasa gembira kerana Arif ada. Pada salah satu malam minggu
itu,aku dibawa berjumpa dengan lelaki berkulit sawo matang yang tinggi. Kami
semua memanggilnya ‘tuan.’ Dia ialah ketua kepada perbuatan terkutuk ini. Dia
kata dia mahu aku bantu aku menaikkan lagi kutipan aku. Aku bertanya kepadanya,
“bagaimana?” Dia kata caranya tidak menyakitkan. Cuma sakit sikit apabila
terjaga. Aku diberi ubat yang buat aku pengsan. Waktu itu aku hanya berdoa
kepada Allah. Aku tidak tahu mahu lakukan apa lagi. Lalu,aku terlelap.
Dalam lenaku,aku sedang berjalan. Aku sudah mempunyai kaki
kananku semula. Dan yang paling gembira sekali,Arif ada di sebelahku. Tangan
kanannya di atas bahuku. Kami berjalan bersama ke suatu tempat yang sangat
indah. Aku tidak pernah lagi pergi ke sana. Aku sangat ingin ke sana.
Ketika,kami hampir tiba. Aku terjaga. Aku berasa sakit di kakiku. Kepalaku
terasa berat. Aku cuba bangun. Lelaki-lelaki yang aku temui semalam sudah tidak
ada. Rupa-rupanya aku sudah berada di atas katilku. Aku mahu turun dari katil.
Tapi,aku tidak dapat merasakan lantai. Kenapa? Aku mula cemas. Aku tarik
selimutku perlahan-lahan. Kaget. Kaki kiriku telah dipotong. Lelaki bangsat itu
telah ambil kakiku. Aku menangis sedayaku. Aku sudah tidak mempunyai kedua-dua
kaki. Kedua-duanya. Aku menangis dan menangis lagi.
Arif terjaga dek
tangisanku. Dia sangat terkejut. Terlalu terkejut. Arif cuba menenangkanku. Aku
dapat mendengar dengusan marah Arif. Dia bangun dan terus berlari keluar. Aku
tidak tahu ke mana di pergi.Tetapi,perkara itu ialah perkara biasa di sana.
Hilang tangan,hilang kaki,hilang mata bukan perkara luar biasa. Aku cuba
menerimanya. Ya,aku cuba. Aku cuba teruskan hidupku dan menguatkan diriku
dengan ingat kembali pencarianku selama ini. Aku yakin aku pasti dapat keluar
dari sini. Aku akan keluar dari sini.
Malam itu,Arif tidak ada di atas katilnya. Apabila aku
bertanya kawanku yang lain,mereka kata Arif tidur di bangsal. Tahulah aku
bahawa Arif pergi melawan lelaki yang lebih besar daripadanya pada pagi itu.
Dia didenda,tidak dibenarkan makan dan tidur di bilik. Aku dapat rasakan dia
pasti kesejukan. Aku cuba keluar dari bilik pada malam itu,tapi pintu telah
dikunci dari luar. Aku tidak dapat lelapkan mata malam itu. Setelah lama fikiranku
menerawang,aku terlena.
Pada keesokan harinya,aku mendengar kekecohan di luar
bangsal. Tuan memarahi orang bawahnya kerana ada yang dapat lepaskan diri malam
itu. Aku tertanya-tanya siapa yang melarikan diri itu. Hatiku mula rasa tidak
sedap. Aku melihat sekelilingku. Aku mencari Arif. Susah untuk melihat orang
dari sudut bawah ini. Aku tidak dapat menemui Arif. Kemudian,aku dibawa oleh
lelaki berkulit gelap yang mengangkat aku masuk ke dalam van pada masa dahulu.
Aku ditanya bertubi-tubi tentang Arif. Mereka tahu aku sahabat baik
Arif.Dan,aku tahu dalam masa yang sama mereka sudah menghantar orang mereka untuk
menangkap semula Arif. Aku bercakap yang benar. Aku tidak tahu Arif lari ke
mana. Tuan kata aku bohong. Dia herdik aku. Dia pukul aku. Tubuh lemahku
semakin lemah. Aku terkulai layu di atas tanah. Setelah mereka puas
denganku,mereka memanggil kanak-kanak lain.
Sepi malam itu semakin sunyi tanpa Arif. Aku terkilan. Arif
tidak mengucapkan selamat tinggal kepadaku sebelum pergi. Dan,yang paling sedih
buatku,Arif mungkir janji. Ya,dia tidak tepati janjinya. Arif kata dia akan
sentiasa bersamaku. Susah senang sama-sama. Malam itu,air mataku mengalir lagi.
Deras. Ya Allah,Kau Tuhan. Aku hamba. Apa yang perlu aku buat sekarang? Aku
tidak tahu. Aku hilang arah.
Pada keesokan hari,aku berjalan menggunakan tangan. Aku masih
dalam latihan untuk membiasakan diri dengan sepasang tangan sahaja untuk
bergerak. Hari itu,aku tidak perlu keluar meminta sedekah. Aku diberi masa
berehat untuk mendapat kekuatan semula. Aku diberi suatu alas yang rata dan
beroda. Tuan kata aku boleh guna benda itu agar mudah lagi bergerak nanti.
Hatiku berasa tenang hari ini. Aku tidak tahu kenapa. Buat pertama kalinya,aku
menikmati alam di sekelilingku. Sunyi. Tempat persembunyian ini dilindungi oleh
pokok-pokok yang menghijau. Angin bertiup sayup-sayup. Burung-burung berkicauan
menyanyi memecahkan sunyi pagi itu. Aku senyum pada alam. Ya,aku senyum pada
alam kerana aku tenang. Aku senyum bukan kerana ayah bersamaku,bukan kerana
Arif di sisiku. Tetapi,aku yakin yang aku layak untuk tersenyum walau tiada
manusia di sampingku,kerana aku ada Allah,pencipta Alam ini. Bodohnya aku.
Sebenarnya,aku boleh mengenal Allah dengan melihat alam ciptaan-Nya. Aku ketawa
sepuas-sepuasnya waktu itu. Aku tetap boleh gembira. Mungkin boleh dikata gila
kerana aku ketawa dengan air mata. Ya,air mata mencurah lagi tetapi kali ini
dengan deraian tawa.
Petang itu,aku dapat merasakan sesuatu akan berlaku. Aku
melihat lorong yang biasa kami lalui untuk keluar ke bandar. Aku menatapnya
lama. Tiba-tiba,aku terdengar sesuatu yang datang dari lorong itu. Ia semakin
hampir. Aku tahu itu bunyi siren. Siren polis. Ya,saat itu aku tahu aku akan
pergi dari sini. Jauh dari sini. Keadaan sangat huru hara. Lelaki-lelaki
sindiket bangsat itu bertempiaran lari cuba menyelamatkan diri. Aku terpandang
susuk tubuh yang sangat aku rindu. Sangat rindu. Aku nampak Arif. Dia sedang
menuju kepadaku. Dia berlari ke arahku. Dia memelukku. Tahulah aku,dia
tinggalkan aku kerana dia mahu selamatkanku. Kanak-kanak di situ diselamatkan
dan dimasukkan ke dalam van untuk dihantar ke tempat yang sepatutnya. Aku
curi-curi dengar perbualan pegawai polis di situ, katanya ketua sindiket itu
berjaya larikan diri. Tetapi,aku tidak menaruh bimbang terhadap berita itu.
Aku dan Arif dihantar ke tempat yang sangat ingin kami pergi.
Aku berkata kepada pegawai polis itu,aku ingin belajar tentang Islam. Lalu,dia
senyum dan membawa aku ke suatu tempat. Ia sangat cantik. Tempat itu ada tasik
yang sangat luas dan masjid. Ya,aku dapat rasakan itu masjid,walau aku tidak
pernah ke situ. Tapi,aku tahu itu masjid. Arif dan aku tinggal di asramanya.
Kami diajar tentang Al-Quran, Nabi Muhammad s.a.w, Islam dan kehidupan. Aku
belajar membaca Al-Quran. Terkial-kial aku menyebut huruf jawi.
Tetapi,semangatku tidak pernah luntur malah semakin kuat. Dan Arif tetap setia
di sampingku.
Bersambung...
No comments:
Post a Comment