(Bunyi rakaman suara mula
dihidupkan.)
(blur..)
“Ehemm,ehhem.” Batuk.
Subhanallah. Alhamdulillah.
Allahuakbar.
Assalamualaikum. Assalamualaikum w.b.t. Mungkin,apabila rakaman
suara ini dimainkan, aku sudah dijemput Ilahi. Monolog ini ialah satu kisah
hidup seorang Hadi. Monolog ini juga suara hati. Monolog ini buat semua yang
sudi mendengar dan menghayati. Aku hanya seorang hamba Allah yang terlalu
banyak kekurangan. Mohon sudi diberi perhatian.
Aku dilahirkan pada tahun 1989. Aku dilahirkan tanpa kerelaan.
Aku dilahirkan hasil penzinaan. Aku dilahirkan tanpa kaki kanan. Oh,ketika aku
masih kecil aku sangat teringin dibelai oleh sorang wanita yang bergelar ibu.
Tapi,aku masih bertuah untuk punyai seorang wanita yang rela mengasuhku. Dia
menjagaku dan menjaga kami semua. Kisah hidupku bermula di sini.
Rumah kebajikan yang dipenuhi dengan anak-anak yang tidak
ber-ibu,tidak ber-bapa, wanita yang tiada tempat bergantung dan orang tua-tua
yang diabaikan ialah tempat tinggalku. Tempat lahirku. Tempat aku membesar.
Kami bertuah kerana sumbangan sentiasa ada buat kami daripada
insan-insan yang masih ingat akan insan yang kurang upaya,tiada mampu bekerja
seperti kami. Mungkin itu sebagai tanda mereka syukur dengan harta yang
dikurnia, tetapi mungkin juga hanya untuk dikatakan pemurah cuma.
Ketidakikhlasan mereka buat aku meluat. Mereka datang dan pergi. Sebelum
pergi,mereka berjanji untuk datang lagi. Tapi.. ( mengeluh sinis..)
Aku sudah biasa ditinggalkan. Sudah cukup tabah mungkin untuk
belajar bahawa dunia ini tiada harapan buat insan seperti aku, kerana apa guna
aku bermimpi tinggi kalau hanya menyakitkan diriku sendiri.
Ketika usiaku mencecah 8 tahun. Aku memiliki sebuah tongkat
yang lebih baik bagi membantu aku berdiri dan berjalan. Ia dihadiahkan oleh
seorang lelaki yang boleh aku gelar bapa. Aku berterima kasih kepadanya,kerana
itu yang diajar kepadaku di rumah itu. Berterima kasih kepada orang yang
berbuat baik kepada kita. Tapi,aku masih mencari lagi kenapa.
Lelaki itu sering melawat rumah itu dan yang paling seronok
sekali, dia datang kerana ingin menjengukku. Hari-hari yang aku lalui semakin
indah dengan kehadirannya. Dia banyak membantu kami,membantu aku. Setiap butir
katanya berhikmah, dan dia mengajarku tentang siapa Allah. Allah. Katanya Allah
itu Esa,tiada Dua. Kita wajib beriman kepadaNya. Kita ialah hamba. Dia ialah
Tuhan kita. Kita mesti sentiasa percaya bahawa Dia ada dekat dengan kita. Yang
paling aku ingati, Allah tidak pernah jauh daripada kita,Allah sentiasa ada
walau di mana kita berada. Cuma manusia yang menjauhkan diri mereka dari Allah.
Tetapi,selagi manusia itu ada iman,kasih sayang Allah akan sentiasa ada.
Dan,kita sebagai manusia perlu mencari dan menambahkan kasih sayang-Nya. Sebab
lagi Allah sayang,lagi mudah kita masuk syurga.
“Oh,Allah. Aku nak masuk syurga. Izinkanlah aku masuk syurga.
Mungkin di sana aku dapat berjumpa denganMu.” Itulah azam baru aku ketika usiaku
mencecah 10 tahun.
Keeseokan harinya,aku menanti kehadiran lelaki itu. Satu hari
penantian menjadi dua hari, dua hari menjadi dua minggu, dua minggu menjadi dua
tahun. Aku sudah jemu menunggu. Sepanjang penantian itu,aku bertanya kepada ibu
pengasuhku tentang lelaki itu. Mungkin,dia tidak tahan dengan pertanyaanku yang
berulang-ulang,lalu dia mencari lelaki itu. Kepulangan ibu pengasuhku aku
nanti. Namun, khabar berita yang aku tunggu-tunggu tidak seperti yang aku harapkan.
Rupa-rupanya lelaki itu sudah meninggal dunia semasa pulang dari melawatku.
Kemalangan. Tiada siapa yang memberitahu kami tentang berita kematiannya.
Tiada. Mungkin,kerana siapalah kami,siapalah aku di mata orang di luar sana.
Tapi,aku tetap gembira kerana aku pasti lelaki itu ada di
syurga sekarang, sedang berjumpa Allah. Aku akan tetap tersenyum. Aku
berselawat di dalam hati. Lelaki itu pernah berkata kepada aku, kalau rasa
sedih,kalau rasa lemah. Berselawatlah. Dia mengajarku apa itu selawat ke atas Nabi
Muhammad. Mungkin agak terkilah kerana tidak dapat mengucapkan terima kasih
dengan cara yang lebih baik. Jika dia boleh mendengarku aku ingin katakan, “Boleh
Hadi panggil pak cik, ayah? Terima kasih ayah. Ayah ialah anugerah buat Hadi.
Ayah datang daripada Allah dan Hadi mesti terima, apabila sampainya ayah akan
kembali kepada Allah. Itu yang ayah ajar Hadi. Nanti,tunggu Hadi di syurga ye.”
Setelah itu aku berfikir panjang,aku tidak dapat ilmu agama
yang cukup di sini. Mungkin kerana penghuninya terdiri daripada berlainan
bangsa dan agama. Rumah ini hanya menyediakan sokongan daripada segi mental dan
semangat untuk teruskan hidup, tetapi bukan dari segi rohani. Aku mahu belajar
banyak lagi. Solatku masih belum lengkap tatacaranya. Aku mahu tahu lagi tentang
Nabi Muhammad, kenapa hati jadi tenang bila aku berselawat ke atasnya. Apa cara
terbaik untuk aku cepat sampai ke syurga. Aku ingin berjumpa dengan ayahku. Aku
ingin jumpa dengan Allah.
Apa yang aku tulis pada warkah itu adalah..
Maafkan Hadi.
Halalkan segala makan minum Hadi. Terima kasih tidak cukup untuk menggambarkan
setiap penat lelah Mak Jah menjaga Hadi sampai hari ini. Hadi tidak berniat
untuk lukakan hati Mak Jah Cuma Hadi ada suatu keinginan yang tidak dapat
tertunai di sini. Hadi pergi untuk mengenal Allah. Hadi pergi untuk mencari
sesuatu yang hilang dari diri Hadi selama ini. Maafkan Hadi juga kerana mengambil
duit dari laci Mak Jah tanpa kebenaran. Hadi janji,Hadi akan balik. Hadi akan
balik dan bayar semula duit Mak Jah. Hadi akan balik dengan membawa suatu yang
kita tiada. Allah.. Hadi pergi untuk kenal Allah. Hadi pergi juga untuk
kenalkan semua yang Hadi sayang di rumah ini pada Allah. Doakan Hadi selamat
pergi dan balik.
Malam itu sangat sukar bagiku. Aku tidak tahu ke mana patut
aku pergi. Aku tidak kenal sesiapa pun di sini. Aku melihat sekelilingku.
Sangat asing. Aku berjalan dengan berselawat. Aku hanya mengharapkan
pertolongan Allah. Doa kepada-Nya tidak henti aku panjat. Aku berjalan dan
berjalan sehingga aku menemui sebuah lorong gelap. Di situ aku lihat ramai
orang yang tidak berumah seperti aku kini sedang tidur berlapikkan
kotak,berbantalkan lengan dan berselimutkan surat khabar. Aku fikir aku yang
paling malang di dunia ini,tapi rupa-rupanya lebih ramai yang susah. Aku tidak
layak merungut. Ya,aku tidak layak untuk mempersoalkan setiap takdirku.
Bersambung..
No comments:
Post a Comment